Showing posts with label Diari Bisnes Kraf. Show all posts
Showing posts with label Diari Bisnes Kraf. Show all posts

Friday, March 24, 2017

Tip-Tip Terima Tempahan Borong.

Teks: Nurul Hidayah Harun
Foto: Nurdaya Craft
Entri #32

Alhamdulillah, jualan yang sangat mendapat sambutan. Target jualan dicapai! Okey, dah boleh tutup tempahan borong untuk hari guru. Sekarang,mula proses tempahan. Kali ini, berdua lebih baik untuk siapkan tempahan. Mula dari memotong dan menjahit. Perlu siapkan dengan cepat, minggu depan sudah boleh pos. Kena cepat-cepat. Nak buka strategi ke 2 dengan target baru. Fokus yang sama, pada jualan hari guru. Kali ini produk ready stok dan tempahan produk siap.




Tip-tip cepat buat kerja yang melibatkan "bulk order"

1. Kumpul semua tempahan 
2. Bahagi kepada jenis-jenis produk
3. Tentukan tempoh masa untuk siapkan
4. Fokus pada satu jenis produk untuk disiapkan.
Sambung dengan produk seterusnya.
5. Jika terlalu banyak tempahan, upah pembantu. 

Modal Bisnes: Hutang vs Simpanan

Teks: Nurul Hidayah Harun
Foto:
Entri #31
Modal: Hutang vs Simpanan


Nak kembangkan perniagaan atau nak mulakan perniagaan perkara pertama kita fikir adalah modal. Betul tak? Modal sama ada hutang atau simpanan, itu terpulang kepada kita. Ini pandangan saya daripada pengalaman dan pembacaan.

1. Mulakan bisnes dengan apa yang ada dahulu. Termasuk simpanan di tangan. Hutang? Boleh! Dengan syarat kita ada kemampuan untuk bayar balik.

2. Saya sendiri memulakan bisnes Kraf dengan apa yang ada. Aset penting masa tu adalah handphone. Guna duit elaun. RM800. Semata-mata nak beli handphone yang kualiti gambar yang baik. Alhamdulillah. Dapat la sebiji LENOVO. Ingat! Gambar nak up dalam FB mesti cantik dan jelas.

3. Pernah kerja sementara sebagai promoter selama 8 bulan semata-mata untuk kumpul modal bisnes. Tapi tak banyak sangat yang dapat kumpul. Boleh lah beli big shot dan sedikit bahan kraf. Selebihnya duit simpan buat kenduri.

4. Guna mesin jahit lama mak sebelum dapat yang baru. Dapat tawaran kerja jadi cikgu ganti. Duit gaji, dapat beli mesin jahit BROTHER.

5. Selebihnya. Bangkit dengan duit simpanan. Ini sebabnya penting SAVING.

Apa pun, rezeki setiap orang tak sama. Ada yang cepat. Ada yang lambat. Ada yang dipermudahkan . Ada yang diuji. Yang penting kita ada usaha. Bila dayah toleh 5 tahun ke belakang. Syukur. Di sini dayah Sekarang. Sedang bercerita dengan anda tentang pengalaman yang boleh dijadikan ikhtibar.

Sunday, March 19, 2017

Matlamat Kelas Asas Penulisan Blog

Teks: Nurul Hidayah Harun
Foto: Nurul Hidayah Harun
Entri #26




Seperti biasa, sebelum memulakan sesuatu saya akan pastikan ada matlamat dan target yang perlu dicapai. Alhamdulillah, hampir 60% kerja saya akan sampai ke penghujungnya. Tindakan untuk menyertai Kelas Asas Penulisan Blog tidak sia-sia malahan banyak membantu saya dalam menghasilkan e book pertama. 

Untuk capai matlamat ini, yang paling penting kena sentiasa fokus dengan tugasan. Ramai yang menghasilkan blog kraftangan, tetapi tidak ramai yang menekankan aspek pengurusan bisnes dalam perniagaan kraf. Jika betul dan kena caranya, jualan kraftangan juga boleh mencapai ribuan ringgit setiap bulan. Ini lah yang saya akan kongsikan kepada pembaca.

"Strategi Perniagaan Kraf tidak sama dengan Bisnes lain,
 Tetapi Bisnes tetap Bisnes. Apa pun Strategi yang digunkan. 
Ada Hasil. Ada Untung. Ada Pulangan. Itu lah sebaik-baik strategi"

Tip-tip Kekal Fokus

1. Set target, Capai ikut tempoh yang ditentukan. Jika melebihi tempoh, perlu cepat bertindak. 
2. Sentiasa ada back up plan yang penting target dicapai.
3. Target yang realistik. Contoh, ingin mencapai jualan sebanyak RM1000 sebulan.
4. Berusaha mencari idea-idea baru. 
5. Kenal pasti pencuri masa. 
6. Cari batu loncatan.
7. Cari pendorong.



Wednesday, March 15, 2017

Team Kraf Kreatif: Penggerak Industri Kraf Felt di Malaysia

Teks Nurul Hidayah Harun
Entri #21

TEAM KRAF KREATIF

Siapa Team Kraf Kreatif?

Team Kraf Kreatif adalah satu kumpulan hasil kerjasama dan gabungan usaha kreatif krafter untuk menaikan martabat industri berasaskan kraftangan felt dalam kalangan pencinta seni di Malaysia. Matlamat Utama Team Kraf Kreatif adalah untuk menjadi penggerak kepada penghasil seni kreatif untuk berjaya dalam industri kraftangan Felt.

Konsep Team Kraf Kreatif.

Teras kami adalah perkongsian ilmu kraftangan dan perniagaan kraftangan felt melalui model-model asas kraf dan bisnes yang dirangka oleh Team Kraf Kreatif

Pengasas Team Kraf Kreatif:

Puan Reedwah Reefah  berpengalaman luas dalam pemasaran produk berasaskan kraftangan felt. Beliau telah menyertai beberapa booth jualan besar-besaran di Malaysia dan juga di Brunei. Bermula dari sebuah kedai kraf , menjual bahan-bahan kraf dan hasil kraf sehingga sekarang mampu menjana pendapatan ribuan ringgit hasil dari jualan produk kraf. 

Puan Sabariah merupakan seorang krafter yang berpengaruh dalam industri kraftangan Felt. Hasil seni dan usaha beliau memang amat disegani oleh peminat kraftangan Felt .Beliau yang tidak lokek ilmu, mesra dan suka berkongsi menarik perhatian peminat kraftangan untuk mendekati beliau. Pengalaman yang luas dalam bidang kraftangan Felt, memberi peluang kepada beliau di jemput menjadi tenaga pengajar bengkel kraf. Beliau juga selalu dijemput untuk mengadakan demostrasi kraf di program-program besar di Malaysia.

Puan Nurul Hidayah salah seorang krafter yang semakin dikenali dalam industri kraftangan Felt. Beliau berpengalaman dalam penyediaan kertas kerja, merangka projek kraf dan modul-modul asas kraftangan dan perniagaan kraftangan. Beliau juga pernah mengadakan bengkel kraf secara online asas kraftangan dan perniagaan kraf.

Ikuti perkembangan, perkongsian tip-tip bisnes dan teknik kraftangan Felt di Page Panduan Bisnes Kraf Felt

Monday, March 13, 2017

KEYCHAIN HARI GURU

Teks: Nurul Hidayah Harun
Foto: Nurdaya Craft
Entri #16

Selamat Petang.

Petang ni Humaira dengan Abinya jalan-jalan rumah Ma Tok. Jarak rumah dari rumah Ma Tok dalam 5 minit saja. Ruang untuk saya santai petang bersama coffee & cookies. Ok! kurang satu. Coffee, cookies, dan laptop. Tanpa ganguan Si Cilik yang panjang yang akalnya, kerja jadi cepat. Kena selesaikan cepat-cepat sebelum Si Cilik Umi balik.


Siapkan design untuk buat keychain hari guru. Editing dengan hanya guna Mc Word sahaja. Mudah dan cepat kerja. Siap nanti kita print out dan terus laminated. Potong kecil-kecil dan tampal di atas Felt. Gunting dan jadikan keychain. Mudahkan.


Hasil keychain hari guru. Siap dan boleh dijadikan hadiah.



Saturday, March 11, 2017

Hasil Tempahan Pelanggan

Teks: Nuru Hidayah Harun
Foto: Nurdaya Craft
Entri #12

Alhamdulillah, tugasan menyiapkan tempahan pelanggan selesai untuk hari ini. 8 buah buku nota siap! 25 biji bekas pencil siap!. Bulan 3, permintaan terhadap buku nota Felt dan bekas pencil Felt amat memberangsangkan. Esok sambung lagi potong 80 biji bekas pencil. Semoga dipermudahkan.

Proses untuk menyiapkan tempahan saya hadkan untuk seminggu, bergantung kepada kuantiti dan jenis produk. Dalam tempoh tersebut, dari mula ambil tempahan, sediakan bahan (senarikan apa yang patut dibeli dan terus beli bahan yang tiada), potong Felt, jahit dan hias perlu dibuat dengan teliti.

Tugasan ini nampak mudah, tapi ia agak memenatkan bagi saya sebagai seorang suri rumah dan ibu. Masa dan komitmen amat penting di situ. Tetapi penat dan perit itu hilang apabila tiba di penamat tugasan. Melihat hasil, semua penat digantikan dengan senyuman. Alhamdulillah. 





Wednesday, March 8, 2017

Rancang Tugasan Harian Bisnes Kraf

Teks: Nurul Hidayah Harun
Foto: Nurdaya Craft
Entri #4


Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Merancang tugasan harian amat penting supaya kehidupan kita sentiasa teratur. Saya merupakan seorang surirumah, yang menjadikan hasil kraftangan sebagai sumber rezeki. Oleh itu, fokus terhadap keluarga dan kerja perlu seimbang. 




Seperti hari-hari yang lain, selepas selesai tugasan sebagai seorang isteri dan ibu. Saya mula fokus kepada aktiviti perniagaan. Jadual saya sangat flexsible, bersesuaian dengan surirumah yang bekerja dari rumah. Apa yang paling penting adalah fokus kepada keluarga dalam masa yang sama dapat menyiapkan tempahan mengikut tarikh yang ditetapkan. Untuk lakukan tugasan ini, apa yang perlu dikorbankan adalah masa rehat. Dalam tempoh 24 jam, selain daripada waktu tidur, masa yang ada manfaat sebaik-baiknya untuk menjana pendapatan. 

Kebiasaannya, pada pukul 10 pagi, tugasan pertama adalah menyemak dan menyalin semua tempahan  pelanggan. Saya juga akan memastikan semua bahan lengkap. Bahan yang kurang akan ditempah secara online. Kebiasaan akan mengambil masa selama 2 sehingga 3 hari untuk menerima bahan tersebut. Planner Harian juga penting untuk disemak bagi memastikan apa-apa aktiviti yang dirancang tidak tertinggal.

Selepas selesai tugasan menyemak, saya terus menyediakan bahan tugasan untuk menyiapkan tempahan pelanggan. Kebiasaan, saya mula menghasilkan tempahan dengan memotong fabrik Felt kepada kepingan bentuk yang dikehendaki. Bentuk ini kemudianya akan dijadikan produk mengikut tempahan pelanggan sama ada keychain, precut Felt, penanda buku dan sebagainya.  

Bekerja seorang agak memenatkan, tetapi jika kita boleh menguruskan dengan lebih sistematik, urusan akan jadi lebih mudah dan kerja menjadi lebih cepat. Untuk mencapai target jualan, saya perlu pastikan setiap ruang yang ada diisi dengan menghasilkan produk dan menyiapkan tempahan. Pada waktu malam, fokus saya adalah kepada penulisan dan strategi pemasaran. Buat masa sekarang sasaran utama adalah pembeli  atas talian melalui Facebook, Blog dan Instagram.

Keyword Merancang Tugasan Harian 
1. Sediakan Planner Harian atau Jadual Tugasan.
2. Melakukan tugasan dengan sistematik. 
3. Ada salinan lengkap maklumat pelanggan: tarikh tempahan, tarikh akhir tempahan, jumlah belian, tracking number, maklumat pembayaran, kuantiti dan penerangan produk pelanggan. Pastikan maklumat ini dikumpul dalam satu file.
4. Pastikan peralatan dan bahan sentiasa cukup dan lengkap.
5. Siapkan tempahan sekuraung-kurangnya sehari sebelum daripada tarikh akhir.
6. Bagi peminat kraf yang baru berjinak-jinak, fokuskan kepada satu produk dahulu. Ini untuk meminimakan modal yang dikeluarkan. 
7. Jangan lupa waktu rehat. Waktu rehat saya adalah bermain bersama anak.
8. Yang paling penting, setkan target apa yang ingin dicapai dalam sehari. Contoh: Siapkan 3 tempahan pelanggan untuk hari ini.

Selamat merancang tugasan harian! 

Tuesday, March 7, 2017

Salam Kenal Sahabat Maya

Teks: Nurul Hidayah Harun
Foto: Nurdaya Craft
Entri #1

Assalamualaikum dan Salam Perkenalan.

Saya Nurul Hidayah binti Harun, dilahirkan di Terengganu dan menetap di Pasir Puteh, Kelantan. Saya dilahirkan pada 2. Mac 1989. Sudahpun berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata, Aisyah Humaira. Matlamat hidup saya adalah untuk menjadi Usahawan Kraf yang berjaya di samping mempunyai keluarga yang bahagia. Berniaga dan kraftangan adalah minat yang wujud semasa saya masih kanak-kanak lagi.

Buku pertama kraf, sewaktu darjah 4 yang 
dihadiahkan oleh ibu  mendorong minat saya
terhadap seni kraftangan

Dari kecil lagi saya memang minat berniaga. Semasa di bangku sekolah, saya pernah menjual hiasan kerang kepada kawan-kawan sekolah. Selepas sahaja tamat belajar tingkatan 5, menunggu tawaran ke Kolej Matrikulasi, saya mengisi masa lapang dengan belajar mengenai kraftangan. Hasil pertama saya adalah keychain yang tidak beberapa comel. Hasil jahitan pertama agak teruk. Maklumlah, tiada asas dalam jahitan. Tetapi saya tetap cuba menghasilkan keychain yang comel dengan hasil jahitan yang lebih kemas. Dari situlah, bermulanya minat terhadap dunia kraftangan Felt. Dengan menggunakan sumber yang ada seperti Blog dan Youtube, dari situlah saya mula belajar mengenai kraftangan seni Felt.

 Antara keychain Felt nama terawal tempahan dari pelanggan

Selepas menamatkan Program Matrikulasi selama setahun, saya mula tertarik untuk jadikan hobi dan minat sebagai duit tambahan. Tambahan pula, ada permintaan di kalangan rakan sekolah adik-adik. Beruntung rupanya ada adik yang ramai dan mempunyai minat berniaga. Alhamdulillah. Dari situ, saya memulakan perniagaan kraftangan dengan bermodalkan RM50 untuk membeli bahan kraf. Hasil pulangan pada waktu itu bagi saya amat lumayan. Syukur dapat kongsi rezeki bersama adik-adik. Lebihan wang niaga saya simpan kemas di dalam tabung.

Mendapat tawaran sambung belajar Ijazah Saujana Muda dalam bidang Keusahawanan Teknologi Pertanian, UMK memberi banyak suntikan semangat untuk terus berniaga. Di sini, saya didedahkan dengan ilmu perniagaan memandangkan UMK adalah universiti berteraskan keusahawanan. Saya mengambil peluang, mencuba nasib mempromosikan hasil seni kepada rakan-rakan di kolej. Alhamdulillah, mendapat sambutan yang baik tetapi terpaksa menghadkan tempahan memandangkan saya perlu fokus pada pelajaran dan aktiviti kolej. 

Antara produk yang menjadi kesukaan pelajar kolej.

Selepas tamat belajar, saya ditawarkan untuk menyertai kursus keusahawanan anjuran MARA. Alhamdulillah, di situ banyak perkongsian yang menarik daripada usahawan yang berjaya. Di dalam kursus itu, saya didedahkan dengan pelbagai teknik dan strategi jualan, pemasaran dan cara menghasilkan kertas kerja. Saya juga didedahkan dengan aktiviti jualan langsung, di mana saya dan ahli kumpulan perlu menjual minuman kepada pelanggan dan perlu mencapai target jualan yang ditetapkan. Di situ,pengalaman pertama berjumpa pelanggan yang tidak dikenali. Tugasan ini agak mencabar kerana memerlukan cara yang berkesan untuk menarik pelanggan membeli dengan kita. Syukur, sekarang soft skill itu sudah ada dalam diri dan tidak menjadi masalah untuk berurusan dengan orang yang tidak dikenali. Pengalaman berada di Night Market RTC Tunjung memberi satu gambaran baru tentang dunia perniagaan. Tak sangka, waktu malam di sini sungguh rancak dan meriah.



Suasana Night Market RTC Tunjung, Kelantan

Selepas menamatkan pengajian, saya serius memulakan perniagaan online. Hanya belajar menerusi Blog dan Youtube di samping ilmu yang sedia ada dalam diri, berani mengambil langkah pertama dengan membuka akaun facebook untuk tujuan perniagaan kraftangan. Di situ saya mula fokus jualan secara atas talian (online). Pada mulanya, tiada permintaan. Perkongisan tips yang berguna dalam Blog dan Youtube membolehkan saya upgrade perniagaan kraftangan dari masa ke semasa. Kengkangan sumber kewangan menjadi masalah utama pada waktu itu. Saya mengambil langkah untuk bekerja sementara bagi mengumpul modal perniagaan. Alhamdulillah, hasil  daripada kerja selama hampir 8 bulan, saya mampu mengumpul beberapa peralatan penting dan bahan asas untuk kembangkan lagi perniagaan saya. Sambil menyelam sambil minum air, itulah saya. Di tempat kerja saya masih lagi mengambil tempahan kraf Felt daripada rakan sekerja yang berminat.

Sekarang, sudah hampir 6 tahun berlalu. Alhamdulillah, saya sudah mempunyai segala kelengkapan untuk menghasilkan kraftangan yang berkualiti dan mampu menerima tempahan yang banyak. Kehidupan sekarang sebagai suri rumah dan juga seorang ibu kepada anak yang comel semakin baik dan teratur. Fokus utama saya adalah perniagaan secara Online . Jika ada jemputan mana-mana booth, itu menjadi sumber rezeki tambahan. Alhamdulillah, buat masa itu, produk kraftangan saya sudah menembusi pasaran luar negara, melalui jualan booth di Brunei. Bukan itu sahaja, saya juga pernah mendapat tawaran menjadi tenaga pengajar, mengajar pelajar mengenai kraftangan Felt bersama-sama sahabat kraf saya yang lain. Saya lebih yakin membuka kelas secara online bagi sesiapa yang berminat untuk mengikuti kelas kraftangan.

Bagi mereka yang berminat dengan hasil Nurdaya Craft dan sentiasa menyokong saya. Jutaan terima kasih saya ucapkan. Sebarang pertanyaan  dan pendapat yang ingin dikongsikan boleh hubungi saya melalui cara di bawah.

Terima kasih.

Email: pn.nurulhidayahharun@gmail.com
Whatsapp/sms: +60169654892
Facebook Page: Nurdaya Craft
Instagram: @nurdayacraft
Blog2: Nurdaya Craft